Wednesday, 23 May 2018

Catatan pedih Khalifah terakhir Turki Uthmaniyah


Bukan mudah memimpin sebuah empayar besar seperti Turki Uthmaniyah. Apalagi dalam keadaan terperosok, hutang sedemikian tinggi serta pengaruh kekuatan asing yang semakin meningkat. Sultan Abdul Hamid II mempunyai jeritannya yang tersendiri. Dan catatan hariannya merakam semua kegelisahan seorang pemimpin yang tidak terbaca oleh rakyat.

"Yahudi sedunia bersatu dan berusaha membuat jalan menuju ke Tanah Yang Dijanjikan (Palestin). Pada suatu saat mereka datang kepadaku dan menuntut kepadaku sebahagian daripada tanah Palestin untuk dijadikan pemukiman Yahudi. Imbalannya adalah sejumlah harta yang telah mereka serahkan, walaupun aku tolak."

Dalam satu pertemuannya dengan Thedor Herzl, Sultan Abdul Hamid II menyampaikan 3  perkara yang ada pada intinya menolak permintaan Herzl dan kelompok Zionis untuk menyerahkan sebahagian tanah Palestin. Tiga perkara tersebut adalah:

  1. Apa yang telah dihimpun Khalifah Umar bin Khattab tidak akan dilepaskan oleh sesiapapun setelahnya.
  2. Inggeris memang mengkehendaki runtuhnya Khalifah Islam, dan Sultan tidak akan membiarkan hal itu terjadi. Meski Inggeris sebagai penjajah dan pelaku pada pendudukan di Palestin sudah berusaha menyerahkan Palestin untuk orang Yahudi, Sultan tidak akan menyerah.
  3. Sultan menasihatkan Theodor Herzl agar tidak meneruskan usaha menguasai sebahagian Palestin. "Aku tidak akan menjual bahagian dari negeri itu, walau satu telapak kaki pun kerana negeri itu bukan milikku, tetapi milik rakyatku. Pakyatku telah sampai ke negeri itu dengan mengalirkan darah mereka dan mereka akan menumpahkan darah mereka kemudian hari. Di masa akan datang kami tidak akan pernah membiarkan seorang pun untuk merampasnya. Yahudi harus berkorban dengan dana jutaan, adapun bila negara Uthmaniya telah bercerai berai, maka Yahudi akan sampai ke Palestin dengan percuma. Kami tidak akan membahagikan negara ini kecuali kepada anak cucu kami dan kami tidak akan menerima penjelasan apapun untuk apa-apa tujuan."

Zionis mengusulkan cadangan pembelian tanah Palestin secara rasmi kepada Sultan Abdul Hamid II ketika Kongres ke-III mereka yang berlangsung di Zurich. Pada mulanya, bahasa yang mereka gunakan adalah 'menyewa'. Ia kononnnya untuk dijadikan tanah pertanian selama 99 tahun. Tawaran itu dibuatkan dengan sejumlah emas yang setara dengan 3 kali timbangan Uthmaniyah.

Dalam situasi ini, Sultan Abdul Hamid II dan pegawai pentadbirannya menghadapi 3 kekuatan besar yang menyerang secara langsung. Pertama, Sultan menghadapi pengkhianatan dari Jerman. Kedua, Turki Uthmaniyah diserang oleh pelobi-pelobi Yahudi Zionis dari segenap bidang. Ketiga, secara dalaman Sultan menghadapi al-Ittihad wa at-Taraqqiy atau kekuatan dalaman Turki yang telah berjaya dibentuk perlahan-lahan oleh Freemason.

Walaupun Khilafah Turki Uthmaniyah sudah kelihatan lemah kerana digugat dari dalam, khalifah mereka tetap berdiri teguh. Selemah-lemahnya, Sultan Abdul Hamid II adalah raksasa yang jika terbangun dan marah, tentu akan menimbulkan kegemparannya tersendiri.

"Memang benar bahawa aku tidak memiliki kemampuan memerangi negara Eropah dengan bersendirian. Namun, negara-negara besar yang menguasai orang-orang Muslim sangat banyak di Asia, seperti Inggeris dan Russia yang akan gementar pada persenjataan Khilafah yang aku miliki. Oleh sebab itulah, mereka berusaha keras membuat kesepakatan untuk mengakhiri Turki Uthmaniyah. Adalah menjadi kewajipanku untuk tidak menggunakan persenjataan tersebut di luar wilayahku sehinggalah hari yang dinantikan, kerana tindakan seperti itu tidak bermanfaat bagi saudara-saudara seagama, dan tidak juga bagi negaraku. Aku memutuskan, sebagai khalifah, untuk menggunakan kekuatanku dalam mempertahankan keutuhan dan keamanan negaraku, seperti keputusan yang lain untuk berusaha menyelamatkan saudara-saudara kami seagama di luar negara menentang risiko. Keputusanku menahan armada laut yang telah memberikan ketengan kepada Inggeris dan Perancis, namun keberadaan khilafah dalam genggamanku menjadikan Inggeris sentiasa hidup dicengkam kekeliruan."

Ini adalah catatan harian Sultan Abdul Hamid II mengenai kekuatan dan keadaan dalamannya sebagai seorang khalifah yang memimpin empayar besar dengan kekuatan yang juga besar. Baginda juga turut menjelaskan tentang sikapnya bergabung dengan Jerman.

"Pada saat aku menduduki takhta, Inggeris telah menguasai India, dan berusaha keras memberikan jaminan pendamaian menuju India. Mereka berusaha dari sisi lain dengan memasuki China dan Asia Tengah. Russia juga berusaha untuk berperanan di Asia Tengah pada tahun yang sama. Merek berjaya menguasai sebahagian besar wilayah Farghana, dan pinggir wilayah Khawaqindi, sehingga akhirnya berjaya mengambil alih Kirgystan, Turkistan dan Tajikistan. Oleh itu perseteruan antara Inggeris dan Russia di Asia sangat luar biasa.

Sekali lagi aku melihat dengan jelas bahawa kemunculan Jerman menjadi penyebab ketidakseimbangan Eropah. Ketidakseimbangan tersebut melanda negara Eropah yang lain. Andai aku boleh menyelamatakan negaraku dari perpecahan hingga hari itu, maka aku saat terjadi perseteruan, akan mampu melindungi keberadaan dengan cara bergabung kepada salah satu kelompok dengan memijak kelompok lain.

Kekuatan Jerman meningkat dari tahun ke tahun, dan aku merasakan benar kegelisahan Perancis, Inggeris dan Russia menghadapi perkembangan Jerman. Pengakhiran daripada percaturan politik tersebut tentu akan menjadi perseteruan baru di antara mereka. Aku telah membahaskan percaturan politik tersebut dengan teliti melalui cara yang aku rumuskan sendiri."

Sultan Abdul Hamid II memutuskan untuk berpakat dengan Jerman kerana negara tersebut dianggap kekuatan baru yang muncul dan menandingi Inggeris, Russia dan Perancis. Dalam situasi itu, Turki Uthmaniyah juga menghadapi 'serangan' dari dalam negara. Serangan tersembunyi tersebut akhirnya telah berjaya meruntuhkan Khilafah Islam, Turki Uthmaniyah.

0 comments: