"Ataukah kamu mengira bahawa para penghuni al-Kahfi dan ar-Raqim (gua) itu, mereka termasuk tanda-tanda kekuasaan Kami yang menghairankan. (Ingatlah) tatkala pemuda-pemuda itu mencari tempat berlindung di dalam gua lalu mereka berdoa: 'Wahai Rabb, berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus di dalam urusan kami (itu).' Maka kami tutup telinga mereka beberapa tahun di dalam gua itu, kemudian Kami bangunkan mereka agar Kami mengetahui yang manakah di antara kedua golongan itu yang lebih tepat di dalam menghitung berapa lamanya mereka tinggal (di dalam gua itu). Kami ceritakan kisah mereka kepadamu (Muhammad) dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Rabb mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk; dan Kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri lalu mereka mereka; 'Robb kami adalah Rabb langit dan bumi, kami sesekali tidak menyembah 'ilah' (sesembahan) selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran. Kaum kami ini telah menjadikan selain Dia sebagai 'ilah-ilah' (sesembahan). Mengapa mereka tidak mengemukakan alasan yang terang (tentang kepercayaan mereka?) Siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang telah mengadak-adakan pembohongan terhadap Allah? Dan apabila kalian meninggalkan mereka dan apa yang mereka sembah selain Allah, maka carilah tempat berlindung di dalam gua itu, nescaya Rabbmu akan melimpahkan sebahagian rahmat-Nya kepada kalian dan menyediakan sesuatu yang berguna untuk kalian di dalam urusan kalian." {1}
Satu tulisan yang membahaskan mengenai Surah al-Kahfi ada menyebut bahawa para pemuda tersebut adalah anak-anak para bangsawan Romawi. Mereka keluar meninggalkan kaum mereka pada hari kebesaran bagi menyembah patung dan thaghut. Mereka menyebelih binatang untuk dipersembahkan kepada ilah-ilah thaghut mereka. Dengan perintah Raja yang bernama Digyanus.
Apabila seluruh manusia keluar berbondong-bondong di dalam perarakan yang besar dengan diiringi paluan musik dan gendang, pemuda tadi dalam diam telah memisahkan diri dan keluar dengan hati yang berat. Mereka tahu apa yang dilakukan oleh kaum mereka adalah batil.
Pemuda pertama memisahkan diri di antara mereka pada waktu itu duduk bersendirian di bawah naungan sebuah pohon. Lalu datanglah yang lain duduk bersamanya. Begitulah sehingga mereka yang terkumpul berjumlah seramai 7 orang. Walaupun mereka tidak saling mengenali, tetapi Allah menggerakkan hati mereka dan menetapkan keteguhan hati mereka dengan keimanan.
Di dalam riwayat kitab kisah anbiya dan Ashabun Nuzul, disebut nama beberapa orang beriman yang hidup beberapa ratus tahun sebelum diutusnya Nabi Isa a.s. Kisah itu dikatakan terjadi di negeri Romawi, di sebuah kota yang bernama Aphesus atau disebut juga dengan nama Tharsus. Tetapi nama kota itu pada zaman dahulu ialah Aphesus (Ephese). Setelah Islam datang, kota itu berubah nama pada Tharsus (Tarse), sekarang terletak di dalam wilayah Turki. Penduduk negeri itu dahulu mempunyai seorang raja yang baik. Setelah dia meninggal dunia, berita kematiannya sampai kepada seorang Raja Parsi. Raja Digyanus.
Raja Digyanus ialah seorang raja kafir yang bongkak serta zalim. Dia datang menyerbu negeri itu dengan kekuatan pasukannya dan akhirnya berjaya menguasai kota Aphesus. Di bawah pemerintahannya, kota itu telah dijadikan ibu kota kerajaan. Lalu, sebuah istana agam pun terbina.
Istana itu diperbuat dari batu marmar. Tiang-tiangnya berjumlah 1000 buah dan terbuat daripada emas dan lampu-lampu yang berjumlah 1000 buah juga semuanya terbuat daripada emas. lampu-lampu tersebut bergantungan pada rantai-rantai yang terbuat daripada perak. Setiap malam, apinya dinyalakan dengan sejenis minyak yang harum baunya. Sayap timur serambi pula dibuat lubang-lubang cahaya sebanyak 100 buah. Demikian pula di sebelah baratnya.
Raja Digyanus kekal berkuasa selama 30 tahun tanpa dapat digugah. Oleh kerana, Raja Digyanus merasakan dirinya sangat kuat, kesombongannya mula membuak. Sama seperti Namrud. Raja Digyanus mengaku dirinya sebagai 'tuhan' dan dia menafikan kewujudan Tuhan yang Maha Esa, yang menciptakan seluruh alam. Langit dan bumi.
Bermula dari saat itu, Raja Digyanus memanggil seluruh rakyat dan pembesar negara. Dia kemudiannya mengatur satu perhimpunan raksasa. Perhimpunan itu diiringi dengan paluan gendang, tarian dan hiburan. Ia umpama satu pesta. Seluruh rakyat diseru keluar menuju ke tempat perayaan tanpa kecuali di dalam satu perarakan raksasa yang maha hebat.
Di dalam perhimpunan ini, Raja Digyanus memakai gelaran tuhan dengan rasminya. Dia memaksa seluruh rakyat untuk menyembahnya di samping berhala-hala lain yang diciptanya. Pesta pada hari itu tidak hanya diiringi dengan bunyi-bunyian bahkan dipersembahkan binatang korban untuk berhala-berhala tersebut. Sementara menunggu Raja Digyanus tiba, ketujuh-tujuh pemuda itu keluar secara berasingan dari kota.
Tindakan itu diambil walaupun mereka tahu barangsiapa yang taat dan patuh kepada Raja Digyanus akan diberi pakaian dan pelbagai hadiah yang lain. Tetapi barangsiapa yang tidak mahu taat serta patuh, akan segera dibunuh.
Keputusan yang mereka ambil adalah amat kritikal. Pergerakan mereka yang menongkah arus perjalanan orang ramai disedari oleh tentera yang setia kepada Raja Digyanus. Ketika mereka bertemu mereka telah menyatakan hasrat mereka yang sanggup menghadapi segala kemungkinan demi menolak tuhan yang bernama manusia kerana pada mereka tidak ada tuhan selain tuhan yang menciptakan langit dan bumi, iaitu Allah. Mereka bergegas berlari ke bukit. Di sana, mereka sampai ke sebuah gua yang dinamakan Gua Roqim. {2}
____________________
1. Surah al-Kahfi, ayat 9-16
2. Dari riwayat Kitab Qishashul Anbiya, hlm 566 dari himpunan kitab Fadha'ilul Khamasah Minas Shihahis Sittah jilid II
0 comments:
Post a Comment