Wednesday, 4 April 2018

Kenali lelaki yang membina tembok Yajuj Majuj ini...


Di dalam al-Quran ada disebutkan beberapa ciri-ciri 'Zulkarnain'. Pertama, perjalanannya ke arah terbenamnya matahari (barat). Kedua, Menerima wahyu daripada Allah iaitu memilih untuk mengazab atau membuat kebaikan. Ketiga, perjalannya ke arah terbitnya matahari (timur) dan menemui kaum yang tiada pelindung. Keempat, membina tembok menghalang Yajuj Majuj.

Di dalam lipatan sejarah, kita tahu hanya ada dua nama yang layak untuk dibahaskan sebagai Zulkarnain. Mereka adalah Raja Kurush (Cyrus the Great) dan Raja Iskandar (Alexander the Great).

Untuk menentukan siapakah Zulkarnain yang disebutkan dalam al-Quran, kita akan lihat semula ciri-ciri tadi.

Perjalanan ke Barat
Ciri ini disebutkan dalam Surah al-Kahfi, ayat 86. "Hingga apabila dia sampai ke tempat terbenamnya matahari, dia melihat matahari terbenam pada laut yang berlumpur hitam,  dan dia mendapati di situ segolongan umat..."

Sekiranya kita menganggap gelaran Zulkarnain itu disandarkan kepada Raja Kurush, maka kita dapat lihat  persamaannya dengan usaha pelebaran empayar Parsi oleh beliau. Memandangkan Raja Kurush berasal dari Iran hari ini, maka bukankah luas empayarnya mencecah hingga ke Laut Hitam yang kedudukannya terletak di arah Barat kerajaan beliau. Ini sesuai dengan perumpamaan bahawa 'laut yang berumpur hitam' itu adalah Laut Hitam kerana dasarnya terdiri daripada lumpur hitam. Hingga apabila diambil gambar dari udara, Laut Hitam akan terlihat hitam kerana dasarnya yang berlumpur. Ini berbeza dengan lautan lain yang kelihatan biru kerana dasarnya yang berpasir.

Fakta lain yang menyokong perjalanan Raja Kurush ke Barat adalah hujah yang disebutkan Baha'eddin Khoramshahi. Dalam penulisannya, dia memetik penulisan Abul Kalam Azad bahawa Zulkarnain mengetuai ekspedisi ketenteraan ke Barat. Ini selari dengan kemaraan Raja Achaemenian ke Lydia di Asia Minor serta penaklukan negara itu. 'Achaemenian' di sini, ditujukan kepada Raja Kurush sempena nama bapa kepada moyangnya - Hakhamanish (Achaemenes).

Sebuah buku, Historians History of the World menerangkan secara terperinci tentang pertemuan Raja Kurush dengan negara-negara Asia merdeka. Beliau pergi dengan sejumlah kecil tentera Parsi lalu berjaya menakluk Madia dengan rela hati mereka sendiri. Begitu juga dengan kaum Hyrcanian. Beliau juga berjaya menawan Syria, bangsa Arab, Cappadocia, kedua-dua Phyrgian, Lydia Carian, Phoenicia dan Babylon.

Sekiranya kita menganggap bahawa Raja Iskandar itu sebagai Zulkarnain seperti yang dihujahkan oleh Abdullah Yusuf Ali dalam tafsirnya, hujah-hujah itu akan kelihatan pelik. Dalam konteks perjalanan Zulkarnain ke arah Barat, ini seiring dengan sejarah Raja Iskandar yang mana beliau berasal dari Macedonia dan kemenangan awal beliau adalah semasa beliau masih kanak-kanak sewaktu pemerintahan ayahnya di Illyricum di sebelah barat Macedonia. Ia pelik kerana walaupun benar beliau pergi ke arah barat dari tempatnya, namun sewaktu itu beliau masih kanak-kanak. Ayahnya, Philip II yang menakluk wilayah itu dan bukan beliau.

Menerima wahyu
Surah al-Kahfi, ayat 86 ada menyebut; "...dan Kami berkata wahai Zulkarnain, kamu mampu menyeksa ataupun mampu berbuat kebaikan kepada mereka."

Ini menunjukkan Zulkarnain mendapat wahyu sebagaimana menurut Tafsir Al-Jalalain oleh Jalaludin as-Suyuti dan Jalaludin al-Mahali bahawa Zulkarnain mendapat wahyu berbentu ilham.

Pernahkah tertulis yang Raja Iskandar ada mendapat wahyu, ilham ataupun bimbingan daripada Tuhan? Di dalam satu catatan Yahudi, pada penulisan buku Isaiah, Uzair dan Chronicle, "...yang mengatakan bahawa Kurush, "Dia adalah pengembala-Ku, dan dia melaksanakan apa yang Aku kehendaki, mengatakan kepada Jerusalem, 'kamu akan dibina', dan kepada tempat penyembahan, 'tapak asasmu akan diletakkan'. Maka berkata Tuhan kepada orang yang terpilih itu, Kurush yang tangannya kupimpin bagi menawan kaum sebelumnya,... moga kamu mengetahui, Aku adalah Tuhan yang kamu panggil dengan namaku Tuhan kepada bani israel.

Raja Kurush menganut ajaran Zarathustra. Ia adalah salah satu daripada empat agama wahyu Ilahi. Agama ini dibawa oleh Nabi Zarathustra. Pada asalnya, agama ini tidak menyembah api. mereka mengabdikan diri kepada Ahura Mazda, namun api hanya simbol penyatuan penyembahan Tuhan sebagaimana Yahudi dengan bintang Daud dan Kristian dengan salib. Ketauhidan agama ini kekal sehinggalah berlaku penyelewengan.

Hasil semakan dalam Jewish Encyclopedia dan Encyclopedia Biblica, memang ada sebut bahawa Raja Kurush sebagai orang yang dipilih oleh Tuhan serta melaksanakan semua kehendak-Nya.


Dalam ayat 86 Surah al-Kahfi itu, Zulkarnain diberikan pilihan samada untuk menghukum atau membuat kebaikan. Ini sesuai dengan apa yang disebutkan dalam beberapa sumber catatan sejarah - Herodotus, Cyraepedia oleh Xenophon dan penulisan pada silinder Kurush (Cyrus Cylinder). Dalam sumber-sumber berikut, Raja Kurush ialah seorang yang pemaaf kepada orang-orang yang ditawan. Jika kebanyakan raja dari sesebuah empayar akan membunuh raja dari empayar yang ditawan mereka, Kurush pula berbeza. Dia melepaskan para hamba, memberi kebebasan beragama, malah memperkenalkan hak asasi manusia.

Perjalanannya ke arah Timur
"Hingga ia sampai ke tempat terbitnya matahari (Timur) dan mendapati suatu kaum yang tiada bagi mereka perlindungan."

Ciri ini menepati kedua-dua raja. Raja Iskandar berjaya dalam ekspedisi ke Timur dan menawan negara-negara di sana. Begitu juga dengan Raja Kurush yang mengembara ke Timur hingga ke Afghanistan. Di situ beliau terjumpa dengan 'kaum yang tiada perlindungan' daripada terit matahari disebabkan muka bumi yang gersang dan hampir tidak berpokok serta tidak berpakaian.

Dalam hujahnya, Baha'eddin Khoramshahi memetik hujah Abul Kalam dengan mengatakan Zulkarnain dikatakan mengetuai ekspedisi ketenteraan ke arah Timur yang mana ini adalah seiring dengan pengembaraan Raja Kurush ke tempat bernama makran dan Sistani hingga akhirnya terjumpa sebuah tempat bernama Balkh. Kita tidak tahu sejauh mana Raja Kurush melebarkan empayarnya, namun negara-negara yang ditawan ada dinyatakan dalam penulisan Raja Darius III.

Pembinaan Tembok
"Hingga beliau (Zulkarnain) sampai di antara dua pengadang, beliau mendapati suatu kaum yang hampir-hampir tidak difahami bahasa mereka. Mereka berkata, 'Wahai Zulkarnain, sesungguhnya Yakjuj dan Majuj adalah orang-orang yang melakukan kerosakan di muka bumi, maka bolehlah kami memberi kamu suatu pembayaran supaya kamu membina dinding di antara kami dan mereka (Yajuj dan Majuj)' Makada berkata Zulkarnain: apa yang dikuasakan oleh Tuhanku kepadaku padanya adalah lebih baik, maka tolonglah aku dengan kekuatan tenaga manusia dan alat-alat supaya dapat aku membuatkan dinding antara kamu dan mereka. Berikanlah kepadaku kepingan-kepingan besi hingga apabila besi itu sama rata dengan kedua-dua puncak gunung itu, dia pun berkata, 'tiuplah!' Sehingga selepas besi itu menjadi merah seperti api, dia pun berkata; berilah kepadaku tembaga yang sudah dilebur untuk aku tuangkan kepadanya." Surah al-Kahfi , ayat 93-96.

Dikatakan bahawa baik Raja Iskandar mahupun Raja Kurush, kedua-dua mereka masing-masing  terlibat alam pembinaan tembok. Jona Lendering menyebut mengenai kemungkinan pemerintah-pemerintah empayar Achaemenian sejak sejak Raja Kurush hingga Raja Iskandar sendiri ada terlibat dalam pembinaan tembok yang antaranya disebut dalam Surah al-Kahfi. Namun, yang pasti Raja Kurush dan Raja Iskandar membina bandar bertembok sepanjang Sungai Syrdar'ya atau Jaxartes yang dinamakan (Cyreschata (dinding Kurush) dan Alexandria Eschate (dinding Iskandar).

Ahli sejarah seperti Mas'udi, Istakhari dan Hamawi berpendapat dinding yang dibina oleh Zulkarnain adalah sama ada tembok Derbent di Dagistan, Russia ataupun tembok di Kaukasus. Manakala mereka yang mengatakan dinding yang dibina Zulkarnain terdapat adalah tembok di Derbent yang berhampiran Bukhara pula, keliru dengan dua tempat bernama Derbent.


Bagi menghuraikan kekeliruan antara dua tempat yang bernama Derbent, kita boleh lihat di dalam Encyclopedia Biblica. Tempat bernama Derbent atau ejaan lain, Darband adalah sebuah bandar Parsi yang terletak di kawasan Kaukasus, di dalam wilayah Dagistan yang kedudukannya berada di sebelah kawasan barat laut Kaspia, dan ke arah selatan terletaknya tembok Kaukasus itu yang dikenali dengan 'Dinding Iskandar'.

Berdasarkan petikan itu, perbincangan bandar Derbent atau Darband yang bertembok adalah yang terletak di kawasan Kaukasus dan bukan yang berhampiran dengan Bukhara. Sejarah menulis bahawa Raja Iskandar tidak pernah mengembara ke kawasan ini, dan ia juga bukanlah kawasan yang termasuk dalam jajahannya. Sekiranya beliau tidak pernah mengembara ke kawasan ini, bagaimana beliau boleh dikatakan membina tembok di tempat yang beliau sama sekali tidak pernah pergi?

Mereka yang menyangka bahawa dinding yang dibina Zulkarnain kini berada di Derbent yang berhampiran dengan Bukhara itu adalah kerana berpegang kepada teori bahawa Raja Iskandar itu adalah Zulkarnain. Seperti yang dinyatakan oleh Muqaddasi, Khalifah al-Wathiq menghantar rombongannya ke Asia Tengah bagi memberi laporan mengenai pintu besi itu. Agak aneh apabila difikirkan mengapa Sayidina Umar yang memegang tampuk pemerintahan pada 634AD juga menghantar rombongannya? Tambah lagi rombongan Sayidina Umar itu menghala ke Derbent di Kaspia dan bukannya Derbent yang berhampiran dengan Bukhara.


Berdasarkan peristiwa perjalanan dua utusan (utusan Khalifah al-Wathiq dan utusan Sayidina Umar) ini, dapat kita lihat bahawasanya mereka sebenarnya pergi ke Derbent melalui Armenia dengan melalui Tblisi sebelum memasuki kawasan Kaukasus. Jika kita lihat peta dunia, kita pasti tertanya seandainya kita berada di Azerbaijan dan ingin pergi ke dinding yang dibina oleh Zulkarnain (ke arah Bukhara), kenapa perlu kita melalui Armenia atau Tblisi? Ini bermakna, dinding yang dibina oleh Zulkarnain itu bukanlah berada di Bukhara, tetapi berada di Kaspia. Khalifah al-Wathiq meminta dinding yang dibina oleh Zulkarnain dikaji, dan rombongannya masuk ke Kaspia sebelum sampai ke Derbent.


Baha'eddin Khoramshahi memetik penghujahan Abul Kalam yang menceritakan bagaimana Zulkarnain berhadapan dengan puas yang buas dan ini seiring dengan ekspedisi Raja Kurush ke Utara dan pertempurannya dengan kaum Scythian. Raja Kurush mengalahkan puak itu di sebuah tempat yang bernama Darial Pass (terletak di Derbent) yang mana tempat ini adalah satu-satunya laluan yang membolehkan mereka diserang oleh jiran mereka. Beliau membina tembok penghadang daripada tembaga dan besi. Orang-orang di bawah tawanannya membina bantuan Raja Kurush bagi tujuan itu dan mereka menyediakan tenaga buruh bagi membantunya membina tembok. Bahkan terdapat bukti artfak hasil daripada usaha eksavasi di utara Iran yang membuktikan Raja Kurush membina dinding penghadapng.




0 comments: