Sunday, 15 April 2018

[DETAIL] KEMATIAN HITLER DI INDONESIA


Pada tahun 1983, akhbar Fikiran Rakyat telah menerbitkan sebuah artikel tentang pengakuan seorang lelaki bernama Dr. Sosrohusodo (Sosro) yang telah menceritakan tentang seorang lelaki tua berasal dari Jerman yang disyaki sebagai pemimpin Nazi, Adolf Hitler.

Ia bermula pada tahun 1960, ketika Sosro merawat seorang pesakitnya, Dr. Poch. Dr. Poch ketika itu seorang pengarah di sebuah hospital di Sumbawa. Ketika merawat Dr. Poch, Sosro merasakan seperti Dr. Poch langsung tidak berkemahiran dalam bidangnya. Sosro mula mengesyaki rahsia Dr. Poch setelah dia membaca sebuah artikel Zaman, edisi no. 15 (1980). Artikel itu memuatkan tulisan Heinz Linge, bekas pembantu Adolf Hitler yang diterjemahkan dengan judul, Kisah Benar dari Hari Terakhir Seorang Diktator. Menurut Sosro, ketika dia membaca tulisan Linge itu, jantungnya seperti hendak meletup. Semua ciri-ciri Adolf Hitler yang disebut di dalam tulisan Linge itu hampir sama dengan ciri-ciri yang ada pada Dr. Poch. Antara ciri-ciri itu adalah, cara berjalan yang sudah tidak sempurna, kerana di masa tuanya, Hitler dikatakan tempang sebelah kaki kiri. Tangan kirinya juga selalu gementar. Dan ia berkemungkinan disebabkan oleh parkinson. Misai masih sama, dan kepala sudah tidak berambut.

Menurut Sosro lagi, Dr. Poch adalah sosok misteri. Dia memberi contoh, ketika mereka membahaskan tentang Adolf Hitler, Dr. Poch dikatakan selalu memuji The Fuhrer sebagai seorang pemimpin besar, Malah, Dr. Poch sendiri pernah berkata bahawa Nazi tidak pernah mempunyai kem-kem di Auswitz seperti yang disebarkan di dalam filem-filem, buku-buku serta risalah sebagai tempat pembunuhan kaum Yahudi.

Ketika ditanya tentang penyakit parkinson yang dihidapinya, Sosro berkata Dr. Poch bertanya kepada isterinya waktu itu, dan isteri beliau memberitahu bahawa penyakit parkinson itu mula dihidapi setelah kekalahan Jerman di Moscow.

"Itu terjadi sewaktu tentera Jerman kalah perang di Moscow. Ketika itu Goebbels memberitahu kami dan kamu memukul-mukul meja."

Sekiranya benar Dr. Poch adalah Adolf Hitler seperti yang disangka, maka Goebbels yang dimaksudkan dalam perbincangan itu pasti Joseph Goebbels, Menteri Propaganda Jerma ketika Adolf Hitler berkuasa dahulu. Banyak lagi dialog antara Dr. Poch dan isterinya yang membuatkan Sosro lebih yakin dan salah satunya panggilan 'Dolf' yang sering diungkapkan oleh isteri Dr. Poch.

Dr. Poch meninggal dunia di Surabaya, setelah dirawat di Hospital Karang Menjangan (Hospital DR Soetomo). Selepas itu isterinya pulang ke Jerman. Sebelum meninggal dunia, Dr. Poch dikatakan telah berkahwin semula dengan seorang perempuan dari Bandung, setelah bercerai dengan isterinya sebelum itu. Isterinya yang berasal dari Bandung itu tinggal di Babakan Ciamis. Sosro berkata setelah penat berusaha, akhirnya balu isteri Dr. Poch itu mahu juga membuka cerita perihal mendiang suaminya. Dr. Poch meninggal dunia pada 12 Januari 1970 pada jam 5:30 di usia 81 tahun dan dikebumikan di Pemakaman Ngangel.

Dalam pertemuan itu, Sosro juga diberikan kebenaran untuk melihat dan membaca buku catatan milik Dr. Poch. Dalam buku catatan tersebut, terdapat satu catatan dalam tulisan steno. Catatan itu menampilkan senarai beratus nama dan alamat beberapa orang yang telah 'tersebar' ke seluruh dunia - Pakistan, Tibet, Argentina, Afrika Selatan, dan Itali - yang mempunyai kaitan dengan NAZI. Dalam salah satu halaman buku itu, terdapat tulisan Jerman bermaksud, ORGANISASI PERLARIAN.

Sosro berkata, pada mulanya memang sukar untuk menerjemahkan dan membaca tulisan steno dalam buku itu kerana tulisan itu menggunakan sistem Gabelsberger. Ia adalah satu teknik kuno yang sudah tidak digunakan lagi sekarang. Walau bagaimanapun, dengan bantuan seorang penerbit dari Jerman, akhirnya tulisan steno itu berjaya juga diterjemahkan.

Tajuk catatan dalam tulisan steno itu apabila diterjemahkan menjadi - Keterangan singkat tentang pengejaran individu oleh sekutu dan penguasa setempat pada tahun 1946 di Salzburg. Ia mengisahkan tentang perlarian 'kami berdua, isteri saya dan saya pada tahun 1945 di Salzburg'. Pada ayat itu, terdapat huruf-huruf besar yang menunjukkan rute pelarian mereka berdua; B, S, G, J, B, S, R. Dikatakan, kononnya cara singkatan seperti itu adalah suatu kebiasaan yang dilakukan oleh Adolf Hitler.

Sosro pernah cuba untuk memahami maksud huruf-huruf besar itu. Menurutnya, 'B' itu mungkin merujuk pada Berlin. 'S' pula barangkali Salzburg. 'G' untuk Graz. 'J' untuk Jugoslavia. 'B' untuk Beograd. 'S' untuk Sarajevo. Dan akhir sekali 'R' yang mungkin merujuk pada Rom.

Berikut adalah sebahagian daripada terjemahan tulisan steno itu;

"Pada hari pertama di bulan Disember, kami harus pergi ke R untuk menerima dokumen-dokumen passport dan kemudian kami berjaya meninggalkan Eropah."

Passport tersebut bernombor 2624/51. Ia diberikan kepada mereka di Rom, tanpa huruf 'A'.

Sejarah mencatatkan, Adolf Hitler telah dijumpai mati di bunker setelah membunuh diri, dan tubuhnya telah dibakar. Namun, kajian pakar yang terbaru menyaksikan bahawa tengkorak yang ditemui bukan milik Adolf Hitler. Mungkinkah Dr. Poch yang ditemui Sosro itu sebenarnya bekas pemimpin tertinggi NAZI, Adolf Hitler?

Wallahualam.


0 comments: