Friday, 13 April 2018

Dimanakah syurga Adam-Hawa? Di bumi?


"Dan apakah orang-orang kafir tidak mengetahui bahawa langit dan bumi itu kedua-duanya dahulu bercantum (sebagai benda yang satu), kemudian Kami pisahkan antara keduanya dam Kami jadikan segala sesuatu yang hidup berasal dari air, maka mengapa mereka tidak beriman?" {1}

Bermacam-macam pendapat mengatakan turunnya Nabi Adam a.s ke bumi ini hanyalah bersifat rohani dan bukannya fizikal. Kononnya, baginda turun dari aras kesenangan itu bersama-sama isterinya, Hawa. Dan misi baginda pada waktu itu adalah berusaha untuk kembali ke syurga dari mana mereka telah dihalau pergi.

Persoalan di sini adalah bagaimana sebenarnya Nabi Adam a.s turun? Adakah mereka turun ke bumi ini dengan bantuan para malaikat? Atau, adakah mereka turun ke bumi ini dengan 'sebuah bongkah terapung' dengan satu ledakan besar?

Muhammad Isa Dawud (MID) menyatakan dalam bukunya, bumi tempat Adam dan Hawa diturunkan  sudah pun dipersiapkan sejak jutaan tahun dahulu. Malah, ia telah dihias oleh pelbagai peninggalan masa lalu. Hanya peninggalan itu telah hilang.

Nabi Adam a.s telah diajar dengan pelbagai ilmu sebelum baginda diturunkan ke bumi ini. Baginda telah diciptakan oleh Allah SWT untuk menjadi khalifah yang tinggi nilainya di sisi Allah SWT.

Sebenarnya jawapan untuk persoalan Nabi Adam a.s ini tidak begitu sempurna. Hal ini kerana maklumat-maklumat berkaitan telah bercampur dengan mitos dan legenda.

Sebelum Nabi Adam a.s turun, bumi ini telah pun dipenuhi dengan pelbagai jenis kerosakan. Kerosakan itu diakibatkan oleh ledakan atom dalam kalangan khalifah yang memakmurkan bumi ini ketika itu, jin. Hanya beberapa tempat sahaja yang terselamat dari kehancuran itu. Kehancuran yang melenyapkan peradaban bangsa jin itu adalah balasan Tuhan akibat kezaliman yang telah dilakukan oleh bangsa jin ketika di bumi. Ini berlaku selepas mereka pulang ke bumi setelah diusir oleh para malaikat.

Fasa akhir bumi sebelum Nabi Adam a.s diturunkan, kerajaan jin telah memerintah secara tenaga besi. mereka mencipta peralatan yang menggunakan tenaga atom kerana keupayaan mereka menggunakan logam dan terdedah dengan radiasi. Kelebihan ini dikurniakan Allah SWT kerana mereka makhluk yang mukallaf, diperintahkan untuk supaya beribadah kepada-Nya serta diberi tanggungjawab untuk hidup dan mendiami bumi ini.

5 JUTA TAHUN SEBELUM ADAM
Walau bagaimanapun ada perbezaan pendapat - tidak mungkin ada makhluk di muka bumi ini sebelum 4 juta tahun dahulu. Ini kerana udara yang sesuai untuk kehidupan belum wujud ketika itu.

Berikut adalah gambaran perkiraan bagi yang tak sependapat tentang permulaan sejarah bumi. Pada 4 atau 8 juta tahun terakhir, nilai satu hari bersamaan 24 jam. Bermakna putaran waktu ketika itu adalah selari dengan setiap setengah jam (100 tahun). Sistem solar terbentuk dalam 4 atau 8 juta tahun dahulu. Maksudnya, bumi pada masa sebelum itu tidak mempunyai udara selama ratusan juta tahun. Bumi ketika itu adalah seperti bongkah panas dan kosong.

Selain itu, telah terbukti secara ilmiah yang usia fosil tertua - menyerupai bakteria dan alga berwarna hijau kebiruan - adalah sekitar 3 hingga 7 juta tahun. Kemingkinan terdapat makhluk aneh yang kita tidak tahu hidup di bumi dalam udara yang lembab. Samada ia lenyap, berubah melewati masa selama ratusan juta tahun.

Dalam perihal turunnya Adam dan Hawa ke bumi dari suatu tempat tinggi, tempat itu mungkin sebuah taman di bukit yang berada di bumi kita. Atau taman tertentu di suatu tempat di alam milik Allah SWT ini.

Jin dicipta pada masa 2000 tahun sebelum Adam.

Al-Hakim dalam al-Mustadrak dan sahihnya meriwayatkan daripada Ibnu Abbas:

"Allah SWT berfirman, Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah. Mereka berkta, Mengapa Engkau hendak menjadikan seorang (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah..." {2}

Kenyataannya, sebelum Adam, bumi ini telah dipenuhi oleh makhluk hidup seperti haiwan-haiwan, reptilia, amfibia, dan binatang-binatang di air. Namun, sebelum Adam, bumi ini tidak menyaksikan kewujudan makhluk mukallaf lain selain jin.

2000 tahun sebelum masa penciptaan, terjadi kerosakan dan pertumpahan darah di bumi, Allah mengirim bala tentera daripada golongan malaikat. {3} Mereka memukul, melempar jin-jin ke pulau-pulau di lautan. Ketika Allah SWT berfirman;

"Sesungguhnya Aku hendak menciptakan khalifah di muka bumi. Mereka berkata, Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah..."

Allah SWT berfirman lagi;

"Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak mengetahui." {4}

Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Abu al-Aliyah bahawa malaikat datang kepada jin di bumi lalu memerangi mereka.

Ibnu Abbas mengatakan;

"Jin telah membuat kerosakan di bumi sebelum turunnya Adam. Maka, para malaikat mengatakan, Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji dan menyucikan-Mu. (al-Baqarah; 30). Mereka menganalogikan manusia kepada jin."

Kita harus percaya bahawa jin telah diciptakan dahulu sebelum manusia. Ini sesuai seperti yang difirmankan oleh Allah SWT dalam Surah al-Hijr; ayat 27

"Dan Kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) daripada api yang sangat panas."

HARI TERAKHIR BUMI SEBELUM KEDATANGAN ADAM-HAWA
Di Uppsala University, Sweden terdapat sebuah manuskrip lama. MID di dalam bukunya memetik sumber dari manuskrip lama itu dengan berkata sebelum kedatangan manusia, Norway telah dikenali sebagai 'Tanah Ledakan Atom'. Beliau juga menulis, pada suatu masa, makhluk jahat (ifrit) telah melakukan pelbagai kesalahan sehingga hilang satu kerajaan yang besar di lautan. Setelah itulah, muncul sebuah daratan dari dalam laut bersama nyalaan api {5} yang bercahaya selama bertahun-tahun. Daratan itu adalah negara Norway hari ini.

Menurut MID sebahagian penemuan arkeologi telah ditemui di dasar sebahagian tasik (di Norway). Melalui lukisan-lukisan yang terpahat, ia memberitahu tentang burung-burung yang besar, bahkan kepalanya seperti kepala manusia. Burung-burung itu memiliki tangan dan kaki seperti manusia. Mereka membangunkan istana-istana juga perindustrian serta menuturkan bahasa-bahasa yang berbeza dari manusia hari ini.

Lars F. Hoglund menulis dalam bukunya, kedudukan geografi bumi hari ini terjadi sebaik manusia pertama diturunkan. Sebelum kemunculan manusia, bumi ini makmur dengan keindahan alam flora dan fauna. Air juga mengalir dengan baik serta banyaknya. Bumi ini, ketika itu, diperintah oleh makhluk berakal yang membangunkan peradaban-peradaban besar. Namun, semua itu hilang akibat ledakan atom.

Lars F. Hoglund mengatakan;

"Seluruh bumi utara terbentuk dari rangkaian Scandinavia, iaitu Finland, Sweden, Denmark dan Norway. Ia adalah syurga Adam. Hari-hari terakhir menjelang turunnya Adam, bumi memiliki iklim yang hangat dengan suhu antara 20-25 darjah."

DIMANAKAH SYURGA ADAM-HAWA?
Ibn al-Qayyim menerusi Hadiy al-Arwah ila Bilad al-Afrah membangkitkan persoalan yang kontroversi. Sehingga kini, persoalan itu menjadi perbahasan dikalangan para ulama. Beliau bertanya;

Adakah syurga yang didiami Adam dan Hawa adalah syurga abadi (yang tidak kita tahu) atau suatu tempat di bumi ini?

Ibn al-Qayyim juga menyebut bahawa syurga itu berada di langit.

Allah SWT menyebut sifat-sifat syurga yang abadi seperti berikut:

  • Sesiapa yang memasukinya tidak akan diusir. Ini berbeza dengan Adam yang tidak kekal di dalam 'syurga' dimana dia dan Hawa diami.
  • Syurga adalah tempat pembalasan, bukan tempat taklif (pembebanan tugas). Tetapi 'syurga Adam-Hawa' ada perintah dan larangan.
  • Syurga juga dikhabarkan sebagai tempat kembali yang mutlak.
  • Syurga bukan medan ujian dan cubaan. Sebaliknya Adam diuji.
  • Salah satu sifat syurga yang abadi adalah Allah SWT tidak diderhakai selamanya, dan ini ternyata berbeza dengan 'syurga Adam-Hawa'.
  • Syurga bukan tempat ketakutan dan kesedihan. Tetapi syurga yang didiami Adam dan Hawa ada ketakutan di dalamnya.

"Dalamnya mereka tidak mendengar perkataan yang sia-sia dan tidak pula perkataan yang menimbulkan dosa." {6}

Sebaliknya sewaktu di dalamnya, Adam a.s mendengar perkataan dari iblis.

Allah SWT berfirman;

"Di dalamnya mereka tidak mendengar perkataan yang sia-sia dan tidak pula perkataan dusta." {7}

Tetapi Adam mendengar hasutan iblis di dalam syurganya. Allah SWT mengkhabarkan kisah iblis kepada Adam;

"...Wahai Adam mahukah jika aku tunjukkan kepadamu pohon keabadian (khuld) dan kerajaan yang tidak akan binasa?" {8}

Jika Adam ditempatkan di syurga abadi (kerajaan yang tidak akan binasa), mengapa Adam tidak membantah kata-kata iblis itu? Adam boleh menjawab; Bagaimana engkau akan menunjukkan kepadaku sesuatu yang aku sendiri berada di dalamnya?

Jika Adam tahu bahawa itu adalah tempat yang abadi, tentu dia tidak akan percaya dengan hastuan iblis tersebut. Sebaliknya, disebabkan keinginannya terhadap syurga abadi, dia telah tertipu.

Lagi, jika dari mula Adam ditempatkan di syurga abadi, suatu tempat yang suci, bagaimana iblis yang kotor itu boleh berada di dalamnya? Bukankah iblis sudah dihalau sejak ia enggan sujud kepada Adam lagi?

"Turunlah kamu dari syurga itu, kerana kami tidak sepatutnya menyombongkan diri di dalamnya." {9}

Adakah ini mungkin untuk iblis mendapat peluang kedua setelah pengusiran itu? Adakah ini seiring dengan firman Allah SWT;

"...tidak sepatutnya kamu menyombongkan diri di dalamnya."

Jika firman ini tidak ditujukan kepda Adam, lalu untuk siapakah teguran tentang kesombongan dan keangkuhan ini dituju?

Selain itu, cuba lihat petika ayat di bawah ini;

"Iblis berkata; 'Tuhanmu tidak melarangmu untuk mendekati pohon ini." {10}

Ini adalah bukti kesaksian iblis terhadap Adam dan Hawa serta pohon itu. ketika Adam keluar dari syurganya, Allah SWT berfirman kepada Adam;

"(Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pohon itu?)" {11}

Perhatikan pada ayat di atas, Allah SWT tidak menyebut 'dari pohon ini'.

_____________________________
1.Surah al-Anbiya, ayat 30
2. Surah al-Baqarah; ayat 30
3. Rujuk kisah Carl Von Leinigh. Ketika jatuh ke dalam 'dunia bawah tanah', abangnya itu dikatakan berjumpa dengan Makhluk Bawah Tanah dan makhluk itu menceritakan tentang makhluk besar bersayap yang memerangi bangsa mereka hingga memaksa bangsanya itu menghuni rongga-rongga bumi.
4. Al-Hakim dan Al- Mustadrak, pada tafsir Surah al-Baqarah ayat 261. "Ini adalah hadiths sahih isnad yang tidak dikeluarkan oleh Bukhari dan Muslim.", Al-Hakim.
5. Sila rujuk bagaimana sesebuah anak gunung berapi (pulau) boleh terbentuk. Sebagai contoh, Anak Krakotoa. 
6. Surah al-Waqiah; ayat 25
7. Surah an-Naba'; ayat 35
8. Surah Taha; ayat 20
9. Surah al-A'araf; ayat 13
10. Surah al A'Araf; ayat 20
11. Surah al-A'Araf; ayat 22

0 comments: